Tuesday, June 28, 2011

9 GOLONGAN ORANG YANG SEMBAHYANG

Golongan 1
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab.Imam Syafi kata jatuh fasik (pun masuk nerakajuga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.
Masya-Allah.. tanak masuk golongan nih.. plg menyedihkan...

Golongan 2
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara resmi atau tak resmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang.Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya,tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafasnya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca.Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang,orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya,tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai Sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa.Allah belum lagi cinta orang ini.

Golongan 7
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )

Golongan 9
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dariseluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.
astaghfirullah.. rase kerdil..


Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim. Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.

nota kaki : Terima kasih kepada penulis artikel ini yang tidakku ketahui siapa gerangan. Artikel ini telah di foward oleh dikno pada aku. Moga Allah memberkati usaha penulis artikel ini. Sama-samalah kita memperbaiki solat kita supaya dapat berada diperingkat yang lebih baik dan berkualiti. Amin...


"Ya Allah Bantulah Aku Untuk Mencari KeredhaanMu"

Sunday, June 19, 2011

Kad Laporan Kak Yong

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Semalam aku bawa anak2 pegi sekolah KakYong, ambil kad laporan. En. hubby balik kampung (seperti biasa 2 minggu sekali dia akan balik kampung sebab tolong ayah dia ambil sawit). Aku dan anak2 tak ikut sebab minggu lepas dah balik kampung. Nasib baik tak ikut balik kampung, petang Jumaat tu baru tahu semua ibu bapa kena pergi sekolah ambil kad laporan.

Disebabkan En. Hubby tak ada, aku pergi lewat sikit ke sekolah KakYong. Takut pergi awal-awal nanti tak ada parking.So, pukul 11pg baru keluar rumah. Sampai sekolah dah tak ramai sangat ibu bapa. Mungkin ramai yang dah datang awal. Aku pun tak payah tunggu lama. Terus jumpa guru kelas KakYong, Puan Aizabi.

Inilah result KakYong bagi peperiksaan pertengahan tahun yang lepas.

Semua A kecuali subjek Matematik. Menurut cikgu, dalam kelas KakYong hanya 2 orang je yang dapat A bagi subjek Matematik. Sebab soalan yang dibuat oleh PPD telah melebihi topik yang diajar oleh cikgu. Cikgu sempat ajar topik baru tu seminggu sebelum peperiksaan bermula. Dan cikgu sendiri akui soalan-soalan tersebut agak sukar.

Aku pun tak salahkan KakYong, bila tengok soalan Matematik tu memang agak sukar. Tapi sekurang-kurangnya kedudukan dalam kelas dia bukanlah yang tercorot. Kedudukan dia yang ke 15 dari 32 orang. Dan kedudukan keseluruhan pula 22 dari 222 orang. Alhamdulillah.

Ni adalah ujian bulanan KakYong. Semua A.
Bila KakYong tanya markah macam mana nak bagi dapat no 1, aku cuma jawab KakYong kena dapat 100% lah. Sebab budak2 sekarang ni semua cerdik2 belaka sebab tu saingannya sengit.

Tuesday, June 7, 2011

Kesilapan Dalam Mendidik Anak-Anak

Untuk dikongsi bersama. Kadang-kadang kita leka/lupa atau mungkin kita ingat cara kita mendidik anak-anak kita tu betul.


Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun,64:15)
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia."-(Maksud Al-Hadith )


1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa
1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah
* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 :8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38)
* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah
* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2:128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25:74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.


2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti
* menakutkan anak-anak dengan sekolah
* menakutkan dengan tempat gelap
* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur


3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.


4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).
* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.


5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)
* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani


6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka.
Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :
Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.


8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas.
*Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.


9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam , beribadah berjemaah, makan bersama-sama, dsb.
*Dalam menjawab salam , lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.


10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak.
*Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.


11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.
*Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.


12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak.
*Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.


13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak.
*Ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.


14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.
*Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.


15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.
*Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.


p/s: Terima kasih pada adikku, Nor Aizah Ali Musa (Dikno) atas info yang diberikan.




















Terima Kasih Ya Allah!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ini hanya ujian kecil dari Allah. Itulah kata hatiku... mungkin kata hati ini hanya untuk menghilangkan keresahan hati. Tak mengapa. Yang penting ia dapat memujuk hati ini untuk sabar dan redha atas ujian dan dugaan dariNya.

Dalam minggu ni, aku diuji berganda. Pertama, dah 3 hari adik demam.Termasuk hari ni, adik masih demam. Yang peliknya, siang suhu badan taklah tinggi. Bila malam, suhu badan adik naik. Hingga ke pagi aku berjaga seorang diri.Aku hanya mampu berdoa... lebih2 lagi waktu adik demam mr. hubby balik kg. Nasib baik hari Ahad mr. hubby dah balik sini.

Pagi ni, aku bersiap nak gi kerja macam biasa. Tapi bila tengok suhu bdn adik cam tak ok jer.. terus batalkan niat ke opis. Risau aku nak tinggalkan adik. Niat hati nak ajak mr. hubby bawa adik ke klinik. Ubat yang ada pun dah habis.

Dugaan ke2 bermula. Bila nak panaskan ejen kereta, langsung tak berfungsi. Macam dah habis bateri je kereta ni. Aik, genap2 setahun usia kereta ni. Tak kanlah buat hal. rupa2nya mmg bateri dah habis... duit lagi... baru je minggu lepas balik Taiping... memang lari budget.. Aku jadi tenang bila tengok mr. hubby juga tenang.. kalau dulu, dia cepat tension bila ada je masalah yang tak diduga seperti ini. Alhamdulillah...

Ada hikmahnya semua yang berlaku. Aku patut bersyukur, sebab bateri tu habis masa kat rumah. Macam mana kalau terjadi masa aku drive kat luar? Tak ke susah...

Kepada adik, ibu doakan adik lekas sembuh ye... Jangan buat ayah dan ibu risau... SAYANG ADIK!!!

Alhamdulillah... Terima Kasih Ya Allah. aku redha atas segala ujian yang Kau berikan pada aku sekeluarga...


YA ALLAH, BANTULAH AKU UNTUK MENCARI KEREDHAANMU!

Sunday, June 5, 2011

Sikit tidak mengapa janji berkat!

Assalamualaikum...

Bisnes Affiliate?? Ada org tag nama aku kat facebook pasal bisnes ni. Apa jenis bisnes tu yer?? ohh... login facebook dapat duit rupanya... hmmm... kalau dengar macam best.

Tapi apa hukumnya bisnes ni? dan dari mana sumber duitnya... tak naklah aku kalau ia dari sumber yang meragukan... tak kaya pun takpe lah... janji duit yang aku dapat tu berkat..

So, aku pun gi tanyalah kat En. Google... jumpa info kat sini dalam blog Ustaz Zaharuddin. Rajin2lah membacanya.

Kat bawah ni, aku copy kesimpulan dari Ustaz Zaharuddin :-

Oleh itu, menurut penelitian saya, umat Islam MESTI DIHARAMKAN dari menyertai system ini. Sebarang promosi dan membiarkan promosinya betapak di web atau facebook anda juga adalah diharamkan di dalam Islam atas asas larangan bantu membantu dalam perkara maksiat dan dosa.

Adalah diharapkan umat Islam khususnya bangkit dari tidur dan mimpi untuk mendapatkan untung tanpa usaha yang setimpal. Dalam Islam setiap keuntungan mestilah bersumber dari penjualan sesuatu aset atau dari usaha sebenar terhadap sesuatu aset, bukan hanya untung atas angin secara goyang kaki atas penyertaan orang ke dalam sesuatu sistem pyramid.

Semoga kita semua diberi pembukaan hati dan minda untuk tidak menyertai, berhenti dan menyedarkan yang lain. Namun sekali terjebak, kegilaan kepada wang, harta serta sistem cepat kaya adalah ibarat arak yang memabukkan, tidak mudah menyedarkan mereka tatkala sedang mabuk, peluang dan ruang untuk yang menasihat dicerca adalah besar, demikianlah tabiat orang mabuk apabila dinasihat. Justeru bersabar kalian dalam menasihati mereka, semoga mereka lekas sedar dan sempat diselamatkan sebelum kemalangan berlaku.

Akhir sekali, tulisan ini bukanlah sebuah fatwa, ia hanya nasihat dan pandangan. Jika ada yang tidak bersetuju dengannya, terpulang kepada saudara dan saudari untuk menolaknya. Tiada sesiapa yang memaksa untuk menerimanya. NIat saya hanyalah untuk mebantu dan menyelamatkan kita semua dari murka Allah. Justeru tidak perlu untuk mencaci maki di web ini.

Ada yang menghantar email kepada saya bertanya tentang cara berhenti dan taubat. Ini jawapan ringkasnya. Jalannya adalah berhenti, sedarkan dowline juga dan semua komisyen yang masih lagi masuk disalurkan kepada faqir miskin. Modal sendiri boleh ambil semula.

Taubat boleh dibuat dgn menunaikan solat taubat sebanyak 2 rakaat dan insafilah dengan sebenar-sebenarnya keterlibatan dan kegelojohan kita terhadap wang dan harta itu, kemudian memperbanyakkan sedeqah dari semasa ke semasa. Selanjutnya panjatkan harapan setingginya kepada Allah untuk menerima taubat kita.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman (www.zaharuddin.net)


Oleh yang demikian, fikir2kan lah... memang seronok kalau dapat duit banyak dan tak putus2 pula tu. Tapi kalau caranya tak betul dan rezekinya tidak berkat, LEBIH BAIK BERSEDERHANA TETAPI SENTIASA DIBERKATI.. Dunia ini hanya sementara, Akhirat sana yang kekal abadi...


YA ALLAH, BANTULAH AKU UNTUK MENCARI KEREDHAANMU!