Wednesday, July 14, 2010

Doa Rasulullah S.A.W. (Part I)


Assalamualaikum.

Untuk entri kali ini aku nak berkongsi salah satu doa Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Doa ini aku petik dari sebuah buku yang bertajuk Peperangan Khandak, aku pinjam dari Perpustakaan MIDA (Office aku).

Buku ini ialah terjemahan yang sah daripada buku al-Sirah al-Nabawiyah, Muhammad Rasulullah wa al-Lazina Ma'ahu, (Ghazwatu al-Khandak) oleh Abdul Hamid Jaudah al-Sahhar dan diterbitkan oleh Maktabah Misr,3, syari' Kamil Sidqi, al-Fajalah, Cairo, Egypt. Karya Terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Di sebabkan doa tersebut sangat panjang, jadi aku pecahkan kepada 2 (Part I & Part II). Untuk Part II, aku akan post nanti ye.. Aku baca buku ni pun semasa aku berada dalam komuter semasa perjalanan pergi dan balik dari office. At least terisi sikit masa aku dalam komuter tu sebab perjalanan dari KL Sentral ke UKM makan masa selama 30 min.
Doa Rasulullah S.A.W ....
"Maha Suci Tuhanku, yang Maha Tinggi dan Maha Memberi. Tiada Tuhan selain Allah. Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan pujian. Dia berkuasa atas segala sesuatu.

Wahai Tuhan yang mencipta langit dan bumi. tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Tuhan dan penguasa segala sesuatu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Engkau. Aku memohon perlindungan Engkau dari kejahatan diriku dan kejahatan syaitan dan sekutunya.

Wahai Tuhan, aku memohon daripada Engkau kemaafan dan kesejahteraan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan harta bendaku. Wahai Tuhan, tutuplah keaibanku. selamatkanlah aku dari ketakutan. Peliharalah aku dari arah kanan dan kiri, atas dan bawah. Aku mohon berlindung dengan-Mu daripada dikhianati.

Wahai Allah! Aku hanya sanggup menerima ketentuan daripada-Mu sahaja. Janganlah orang lain dapat menguasaiku selain Engkau. Jangan Engkau cabut perlindungan-Mu daripadaku. Janganlah lupakan aku daripada mengingati-Mu dan janganlah masukkan aku dalam golongan orang yang lalai.

Wahai Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau yang jadikan diriku. Aku hanyalah hamba-Mu. Aku berusaha seberapa daya untuk melaksanakan janji-Mu. Aku mohon berlindung kepada-Mu daripada keterlanjuran perbuatanku.

Wahai Tuhan, terlalu banyak nikmat-Mu kepadaku dan terlalu banyak dosaku maka ampunilah dosaku. Tiada yang dapat mengampunkan dosaku selain Engkau.
Wahai Tuhan, berilah kesihatan dan kesejahteraan kepada tubuh badanku, pendengaranku dan penglihatanku. Tiada tuhan selain Engkau. Wahai Tuhan, aku mohon daripada Engkau keredaan selepas sesuatu hukuman, kehidupan yang tenang selepas mati, pemerhatian yang lazat kepada wajah-Mu yang mulia, rasa asyik untuk menemui-Mu tanpa sebarang kesempitan yang menyusahkan dan bukan fitnah yang menyesatkan. Wahai Tuhan, aku mohon berlindung kepada Engkau daripada melakukan kezaliman atau dizalimi, melampau atau dilampaui. Atau melakukan kejahatan yang Engkau tidak ampuni.

Wahai Tuhan, aku memohon daripada Engkau ditetapkan dalam segala urusan, kesungguhan dalam kecerdikan. Aku mohon daripada Engkau hati yang khsyuk dan sejahtera, akhlak yang lurus, lidah yang benar, amalan yang diterima. Aku mohon daripada Engkau kebaikan yang Engkau ketahui. Dan aku mohon berlindung kepada Engkau daripada kejahatan yang Engkau ketahui. Aku mohon keampunan Engkau apa yang Engkau ketahui. Sesungguhnya Engkau mengetahui dan aku tidak mengetahui, engkau amat mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku sama ada yang akan datang atau yang telah lepas, yang tersembunyi atau yang nyata. Engkau lebih mengetahui daripadaku. Sesungguhnya Engkau yang Awal dan Engkau yang Akhir. Engkau berkuasa atas segala sesuatu. Dan Engkau Maha Menyaksi perkara yang ghaib.

Wahai Tuhan, aku mohon daripada Engkau iman yang tidak goyah, nikmat yang tidak kehabisan , sejuk pandangan yang berpanjangan. Wahai Tuhan, aku mohon daripada Engkau segala kebaikan, perbuatan-perbuatan yang baik, meninggalkan kejahatan, mengasihi orang miskin. Aku memohon daripada Engkau kasih sayang-Mu, mengasihi orang yang mengasihi-Mu, mengasihi semua amalan-amalan yang mendekatkan kepada mengasihi-Mu. Aku mohon supaya Engkau menerima taubatku, mengampuni dan merahmatiku. Apabila Engkau mahu menurunkan fitnah terhadap sesuatu kaum, peliharalah aku dari sebarang fitnah."

-----------bersambung (Part II)-----------

No comments: